Sunday, June 20, 2010

DHIA NUR ‘AISYA



BAB 1

“Maklong!….”

“Ya….Hish..hang ka? Ingat sapa panggil.”

“Hehe…saja ja melawak.”

Begitulah kemesraan antara anak-beranak. Gurau senda, gelak tawa sering menghiasi dunia mereka. Si ibu dianggap seperti sahabat, sahabat yang memahami segala rasa si anak yang dianggap seperti sahabat baiknya. Namun, di sebalik semua kegembiraan itu terselit satu rasa hiba yang ditanggung oleh si anak. Darah yang mengalir di dalam tubuh si ibu bukanlah darah yang sama mengalir di dalam tubuhnya.

“Jadi, aku hanya anak angkat?”

Soalan pertama yang terpacul dari kotak fikiran Dhia Nur ‘Aisya tatkala merenung perbezaan maklumat di surat beranaknya dan kepunyaan si adik. Ketika berumur 13 tahun dia sudah menemui jawapan tentang status sebenar dirinya yang menjadi teka-teki selama ini.

Namun, teka-teki itu belum terjawab sepenuhnya sama seperti susun silangkata yang masih belum menemui perkataan sesuai bagi mengisi ruang kotak yang masih kosong. Lewat senja itu, dia masih berteleku di hadapan jendela empat segi berbingkai putih sambil merenung jauh ke ruang langit yang berbalam-balam hampir ditelan kegelapan malam.

Suara azan telah sepuluh minit berlalu menandakan telah masuk waktu maghrib. Dhia menarik nafas dalam lalu menghembus kuat seolah-olah melepaskan sesuatu yang telah lama disimpan kemas di dalam hati. Dia lantas mengatur langkah ke bilik air untuk mengambil wudhu’ dan menunaikan kewajipan menunduk syukur pada Yang Maha Esa.

Dhia Nur ‘Aisya, nama yang diberi oleh ibu angkatnya yang dipanggil dengan panggilan ‘mak’ sejak dia mula mengenal gelaran itu. Puan Zaimah yang dipanggil dengan panggilan ‘mak’ manakala Encik Saufee digelar ‘ba’ iaitu singkatan kepada ‘babah’ menjadi tulang belakangnya malah sudah dianggap seperti nyawa barangkali. Begitulah tingginya kasih dan sayang Dhia pada ibu dan bapa angkatnya.

Walaupun mereka bukanlah darah dagingnya tapi curahan kasih sayang pasangan itu terhadap Dhia membuatkan Dhia tidak pernah berasa terasing berada di dalam kelompok keluarga dan saudara mara yang dari segi biologinya berbeza genetik. Dia berdarah O manakala ibu dan babahnya berdarah A dan AB. Perbezaan itu tidak sedikit pun mencacatkan hubungan mereka sebagai satu keluarga bahagia.

“Kak...”

“Hang sibuk dak?”

“Awat? Nak mintak tolong apa?”

“Jom kita pi Star Parade. Aku nak cari benda.”

“Eleh...cakap la nak beli hadiah kat girlfriend. Ingat aku tak tau?”

“Hehe...”

Muhammad Irfan Fauzan atau panggilan Irfan begitu mesra dengan Dhia Nur ‘Aisya. Mereka sering bertukar-tukar pendapat, berkongsi idea atau apa saja cerita yang mampu mendekatkan hubungan adik-beradik. Namun, batas pergaulan masih lagi dijaga rapi oleh Dhia berlandaskan hukum syara’. Walaupun Irfan tidak mengetahui hal sebenar mengenai status kakaknya tapi Dhia yang bertanggungjawab menjaga batas-batas tersebut. Irfan telah dia anggap seperti adik kandungnya tapi hakikatnya mereka bukan muhram, tidak bebas menyentuh sesuka hati dan bergurau melebihi sempadan hukum.

Kadang kala hati kecilnya tercuit rasa sayu tatkala merenung satu-satu wajah kekasihnya yang disanjung kerana dia cuma anak gadis yang hanya menumpang kasih dan sayang pada manusia yang tiada hubungan darah yang sama.

Dhia bersyukur walaupun berstatus ‘anak bela’ tetapi dia diserahkan kepada keluarga yang baik-baik malah tidak pernah membezakan kasih sayang antara dia dan adiknya. Dia juga mampu menarik nafas lega apabila mengetahui siapa keluarga sebenarnya dan kebenaran itu sekaligus menghapuskan fikiran-fikiran jahat yang cuba menghasut mindanya tentang isu ‘anak pungut’.

“Ouh anak jati Melaka aku rupanya. Pasti mengalir darah Hang Tuah dan Teja dalam badanku.”
Dhia tersenyum kecil sambil tangannya menutup mulut bila menyedari dia berangan sendirian. Terselit secalit rasa bangga setelah mengetahui asal usulnya dari tanah Melaka, negeri kecil yang sarat dengan kesan sejarah silamnya. Mungkin juga cuba memujuk hati yang sayu dan hiba memikirkan tentang dunianya yang sebenar.

Kalau sebelum ini, dia hanya melihat kisah hidup manusia dalam slot drama di kaca televisyen tapi di dunianya adalah nyata. Memegang status itu membuatkan dia kadang kala mudah tersentuh walau hanya kesilapan sebesar zarah. Pernah juga dia meluahkan perasaan sensitifnya di dalam kertas setelah dimarahi ibu kononnya dia tidak lagi disayangi kerana dia cuma ‘anak angkat’.

“Haha...bodohnya aku masa tu. Macam mana la boleh terfikir nak buat macam tu.”

Terpancar kenangan lama itu di kotak fikiran kala dia duduk sendirian di katil bujang miliknya.
Kini, Dhia sudah menginjak dewasa, bakal memegang kerjaya sebagai seorang pendidik tidak lama lagi. Dhia tersenyum puas kerana pada pemikirannya dia sudah melakukan sesuatu buat kedua-dua kekasihnya. Pastinya mereka juga berbangga dengan pencapaiannya. Pada hematnya, dia sudah membalas secebis dari jasa dan pengorbanan kedua-dua kekasihnya itu.

“Mak, ba...ni hadiah tuk mak dan ba.”

Dhia menghulurkan sejambak bunga kepada emaknya yang diterima daripada ibu saudaranya yang mesra dipanggil ‘mak lang’ dan sebelah tangan lagi cuba meletakkan cap di atas kepala babahnya. Bermulalah sesi fotografi antara mereka anak-beranak. Pelbaga aksi dan gaya diperagakan dengan berbalut jubah berlis lavendar, lis yang membezakan pelajar jurusan Komunikasi dengan jurusan lain pada hari konvokesyen tersebut.

*****
Petang itu, sambil berbalas mesej melalui sistem khidmat pesanan ringkas atau SMS dengan seorang rakan yang dianggap seperti kakak, Dhia membuka kembali beberapa buah album yang dipenuhi dengan gambar-gambarnya sewaktu kecil hingga sekarang.

Dia tersenyum sendiri. Tidak tahu mengapa. Mungkin lucu melihat keletahnya di waktu kecil. Berwajah bulat, pipi yang tembam bak kuih pau, mengikat tocang dua dengan badan yang montel, terasa sungguh lucu. Diselak lagi helaian album yang menayangkan foto-foto ketika berusia 4 tahun. Terserlah wajah kegembiraannya setelah dihadiahi sebuah basikal berjenama BMX berwarna merah. Memakai gaun petak-petak warna hijau, rambut ikal diikat dengan gaya ikatan yang sama, bermata sepet dan riak wajah yang sedikit garang menghiasi tatapan matanya. Senyum.

“Itulah aku.” Terdetik kata-kata itu di dalam benaknya.

“Kecil-kecil sudah pandai bergaya.” Lantas tawanya berhambur kerana sedar dia memuji diri sendiri.

Gambar-gambar lama itu masih utuh warnanya malah kualiti gambarnya juga masih tidak jejas sedikit pun walau setelah lebih dua puluh tahun berlalu. Setiap gerak langkah dan tingkah lakunya pasti tidak dilepaskan untuk dirakamkan dalam bentuk foto.

Kala mata menatap gambar-gambar ketika dia berpakaian seragam sekolah menengah, serta-merta Dhia teringatkan zaman persekolahannya. Semangat dan kecekalannya tidak pernah luntur walaupun perjalanannya tidak selancar mana. Kata-kata berbisa pernah keluar dari mulut saudara maranya sendiri. Sinis, pedih dan ngilu rasanya bila ada yang merendah-rendahkan dirinya. Lagi pula, mereka adalah manusia yang dianggap saudara. Bukan kata-kata semangat yang dihadiahkan padanya tapi sindiran yang bisa mencalar hati kecilnya. Namun, sindiran itu diterimanya dengan redha dan menganggapnya sebagai satu cabaran.

“Aku mampu buktikan aku bukan sepertimana yang maksu dan paksu cakapkan. Tengoklah nanti. Ini Dhia la. Aku sesekali tak akan mengalah selagi aku tak capai apa yang aku mahukan.”

Dhia menyimpan hasrat, menanam azam dan menyemai semangat untuk gapai apa yang diimpikan. Kata-kata sinis itu masih terpahat kukuh di hatinya kecilnya. Sungguh dia mengaku hatinya begitu terluka tatkala menerima setiap butir bicara mereka. Mungkin nasib tidak menyebelahinya waktu itu namun itu bukan petunjuk untuk dia berhenti tapi ia adalah sinar untuk satu permulaan baru.

Pagi itu, Dhia bangun seawal 6 pagi. Melangkah longlai ke bilir air untuk membersihkan diri. Usai mandi, Dhia melunaskan tanggungjawabnya terhadap Sang Pencipta yang satu. Pagi itu di bulan Februari, Dhia akan mendaftar sebagai seorang pelajar Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta. Melangkah keluar rumah dimulakan dengan kaki kanan dan bacaan Bismillah, berbaju kurung putih dan dipakai bersama kain hitam bersusun tepi dikenakan bersama tudung labuh separas siku, Dhia melangkah bersama-sama semangat yang tersusun kemas dalam derap tapaknya. Setibanya di sekolah itu, Dhia mengisi pelbagai borang, melunaskan bermacam-macam yuran dan dia dibawa masuk ke kelas.

Selepas rehat Dhia menuju ke kelas seorang diri manakala rakan-rakan barunya yang lain menuju ke stesen wajib selepas rehat, tandas. Sedang Dhia membelek-belek buku nota salah seorang rakan, dia terasa ada kelibat sedang menuju ke arahnya.

“Hai...sapa nama?”. Tiba-tiba Dhia disapa seorang pelajar lelaki. Agak terkejut dengan sapaan itu, Dhia pantas mengangkat wajah lalu memandang susuk tubuh di hadapannya.
“Aku Zaidi.” Senyuman diukir di wajah lelakinya. Berkulit hitam manis, berdada bidang dan riak gayanya seperti agak baik. Tanggapan pertama.

“Dhia.” Ringkas. Dhia menguntum senyum.

“Senyum je. Tak de niat nak gatal pun walaupun kau nampak sweet.” Tiba-tiba hatinya berbisik sedemikian. Apakah maksud?

Setelah 4 bulan berlalu, Dhia semakin rapat dengan Zaidi. Dia amat menyenangi jejaka itu. Sering saja Zaidi menyakatnya tidak kira di mana. Kadang kala rimas tapi dia sebenar amat menyenangi pemilik bernama Zaidi.

Zaidi Imran. Lelaki yang berbudi bahasa dan tidak pernah meninggi suara kala berbicara dengan sesiapa sahaja. Pasti sahaja semua pelajar termasuk guru menyenangi sikapnya. Dhia juga begitu. Malah setiap hari ada saja keletahnya yang perlu dilayan tapi jauh di sudut hati, Dhia gembira. Gembira punya sahabat sepertinya.

“Dhia. Mana tempat hang?”

“Aku kat kelas sebelah la.”

“Alah. Tak best la. Aku nak duk kat sebelah hang.”

“Ish, mengada-ngada la! “

Terburai tawa mereka berdua. Memang mesra.

Sebelum balik, semua pelajar diminta menyusun kerusi dan meja kerana peperiksaan percubaan STPM akan bermula selepas cuti hujung minggu.

*****
Peperiksaan percubaan telah masuk hari kelima. Baru sekali Dhia berada satu kelas bersama-sama Zaidi, sahabat yang amat disenanginya iaitu ketika subjek MUET. Hati Dhia sedikit tercuit dengan kelakuan Zaidi yang agak dingin. Walau berselisih bahu dia tidak menyapa. Senyum pun tidak. Pakaiannya juga sedikit berbeza. Kalau biasanya dia seorang yang kemas, baju dimasukkan ke dalam tapi tidak kali ini. Bajunya dibiarkan lepas ke luar.

“Kenapa dengan Zaidi ni. Aku ada buat salah ka?” Detik hati kecil Dhia.

Usai rehat, semua pelajar masuk semula ke kelas masing-masing untuk meneruskan peperiksaan bagi mata pelajaran yang seterusnya. Bagi kelas Dhia, subjek seterusnya adalah MUET. Sekali lagi Dhia dan Zaidi berada dalam satu kelas yang sama. Soalan diletakkan di atas meja kosong di hadapan Dhia. Entah kenapa Dhia tertunggu-tunggu sahabatnya itu. Tiba-tiba kelibat Zaidi masuk ke kelas dan menuju terus ke arahnya.

“Soalan mana?”

“Tu. depan meja aku.” Balas Dhia sambil memuncungkan mulut menunjukkan meja di hadapannya.
“Awat tak habaq awai-awai?” Senyuman manisnya terukir. Hati Dhia sedikit lega mendengar gurauan Zaidi. Bermaksud Zaidi tidak marahkannya.

Entah kenapa sepanjang menjawab soalan MUET, mata Dhia meliar mencari-cari tempat Zaidi.
Dhia masih tekun menjawab walaupun sudah ramai pelajar mula meninggalkan kelas. Tiba-tiba Dhia mengangkat kepala dan mencari tempat Zaidi. Malangnya, hanya tinggal seorang pelajar lelaki yang masih tekun menjawab. Hatinya sedikit kecewa kerana tidak melihat wajah Zaidi pada hari ini malah tidak banyak gurau sendanya pada minggu peperiksaan tersebut.

Meja belajar Dhia dibiar terang dengan lampu. Beberapa buah buku pelajaran dibiarkan berselerak di atas meja. Itulah tabiatnya ketika ulangkaji pelajaran. Pastinya buku-buku pelajaran dibiar bersepah tidak terurus. Katanya mudah mencari dan sesiapa sahaja dilarang cuba menyusun semula buku-buku tersebut. Itu adalah antara prinsipnya ketika mengulangkaji pelajaran.

“Krriing..kriinngg...”

Tiba-tiba telefon berdering. Dhia segera menjawabnya. Suara rakannya bernyanyi di gagang felefon.

“Ada apa Niza?”

“Aku dapat satu berita.”

“Berita apa?”

“Zaidi lemas di laut. Masih tak jumpa dia lagi.”

Bagai halilintar memanah corong pendengarannya.

“Benarkah apa yang aku dengar?” Bisik hati kecilnya. Debaran makin hebat. Fikiran mula menerawang entah ke mana. Kosong.


Bersambung...







1 comment:

  1. percubaan yg baik... malu plak nk pamerkan karya sy yg x seberapa...huhu

    ReplyDelete