
BAB 2
Kakinya longlai. Terasa seperti tiada lagi tanah nyata yang harus dipijak, tiada lagi udara yang perlu disedut hembus. Cuba memikirkan sesuatu tetapi tiada daya. Seolah-olah otaknya berhenti berfungsi. Serta merta lututnya lemah seperti tidak bersendi bagi menampung dirinya. Namun, Dhia masih gagahkan diri untuk bertanyakan Niza akan cerita yang sebenar sedangkan Niza sendiri tidak mengetahui apa-apa kerana hanya maklumat itu sahaja yang diterimanya. Rakan-rakan sekelas pula sudah mula menyebarkan berita kehilangan Zaidi Imran melalui telefon bimbit.
Setiap hari dia gelisah memikirkan tentang sahabat kesayangannya itu malah doanya juga tidak pernah putus buat Zaidi. Hatinya menggumpal harapan, harapan bahawa Zaidi akan ditemui dengan selamat. Detik demi detik berlalu, melambai sayu ke arah Dhia yang masih setia menunggu khabar berita mengenai Zaidi Imran. Resah hatinya makin bergelojak hebat saat fikiran jahat mula merasuk mindanya. Seolah-olah mengejeknya mengatakan Zaidi Imran sudah pergi selamanya.
Dhia tenang bertimpuh di atas helaian sejadah yang menjadi saksi luhur hatinya kala mewarkahkan doa pada Yang Maha Esa. Hanya satu di fikirannya saat ini iaitu Zaidi Imran ditemui dengan selamat. Walaupun sesekali hati merasakan yang sebaliknya tetapi Dhia tidak mahu mengalah pada mainan perasaan. ‘Tiada yang mustahil di dalam dunia ini andai DIA mahu jadikan sesuatu’. Saat hatinya dilanda sendu resah maka kata-kata inilah yang selalu menjadi tunjang penguat dayanya.
“Dah masuk hari ketiga nih. Kenapa tak ada apa-apa berita lagi tentang Zaidi.Ya Allah..Kau selamatkanlah sahabatku Zaidi Imran.” Dhia membisikkan harapan telus semoga Sang Pencipta memperkenankan doanya. Sungguh hatinya terlalu resah menunggu berita daripada Zaidi Imran.
***
Dhia berlari ke arah telefon yang berdering. Telefon yang diletakkan di atas meja sisi betul-betul di penjuru anak tangga. Hatinya berbunga dicampur dengan sedikit debaran, mengharapkan panggilan daripada Niza. Pantas tangannya mengangkat gagang kelabu itu dan dilekapkan ke telinga. “ Dhia pi mana?”
“Sorry, tadi balik kampung ba. Awat?”
“Aku dapat berita. Zaidi dah tak ada. Depa jumpa dia pagi tadi.”
“Hah!”. Hanya kata itu saja yang mampu diucapkan. Hatinya luluh, luluh kerana semua harapannya lenyap. Harapan yang setinggi gunung itu tidak lagi bermakna. Orang yang disayangi kini telah dijemput Illahi.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun.” Suaranya antara keluar dan tidak. Lemah sekali ucapannya, selemah kakinya yang tidak lagi tegak berdiri. Dhia terduduk di anak tangga sambil mendengar patah bicara Niza tentang Zaidi. Namun, dia tidak tahu apa yang didengarinya, fikirannya melayang entah ke mana.
Cecair jernih terus menerus melimpah bagai hujan. Umpama sang awan sarat menakung air selama berhari-hari. Perit, kecewa menerima sebuah kehilangan, kehilangan sahabat yang amat disayanginya. Pasti hari-harinya selepas ini sedikit lompong bila tiada lagi celoteh Zaidi yang mahu dilayan.
“Depa dah jumpa dia?” Tanya ibunya, Zaimah pada Dhia setelah mendengar perbualan anaknya dengan Niza. Dia mengagak sesuatu yang pastinya berkenaan dengan Zaidi seperti yang diceritakan oleh anaknya semalam.
“Emmm...Depa jumpa dia pagi tadi.” Suaranya bergetar. Wajahnya juga tidak memandang ke arah ibunya.
Dhia melangkah longlai ke biliknya. Zaimah menghantar anaknya dengan pandangan simpati. Berita yang diterima sebentar tadi dirasakan seperti mimpi. Semuanya berlaku terlalu pantas. Hatinya semakin rapuh, imannya juga dirasakan semakin meretak. Fikiran memaksa supaya hati mengatakan sebaliknya, Zaidi masih ada.
Saat menyedari keterlanjurannya meratapi pemergian Zaidi Imran, Dhia bingkas bangkit dari katilnya dan terus menuju ke bilik air. Solat ‘Isyak juga masih belum ditunaikan. Selesai berwuduk, Dhia mencapai telekung putih yang disangkut di penyidai, khusus untuk meletakkan kain sembahyang dan sejadah. Fikirannya masih lagi tertakluk pada wajah Zaidi Imran. Sayu.
Sejadah biru pemberian nenek saudaranya ketika pulang dari menunaikan haji di Mekah tahun lalu dihampar sedikit menyerong. Dibetulkan hingga tepat arah kiblatnya supaya tepat juga arah sujudnya nanti. Dhia menetap rapat kakinya, menjaga salah satu tatatertib solat bagi wanita. Lafaz solat dimulakan dengan penuh berhati-hati diikuti dengan niat dan rukun-rukunnya sehingga sempurna solatnya.
Usai memberi salam, tangannya meraup lembut ke wajah menandakan selesai sudah kewajipannya terhadap Yang Maha Esa. Dhia beristighfar, amalan zikir yang biasa dilakukan selepas menunaikan solat, dirasakan syahdu sekali.
“Lap airmata tu. Tak baik menangis sampai menitik airmata. Arwah terseksa.” Cepat-cepat diseka airmata agar tidak menitis melepasi wajahnya tatkala teringat kata-kata ibu saudaranya ketika pemergian nenda tercinta ketika dia berusia 12 tahun. Tidak pasti sama ada benar kata-kata itu tapi Dhia akur. Tentunya dia tidak mahu sahabatnya terseksa di alam sana lantas kedua-dua tangannya diangkat dan dirapatkan untuk mengutus doa pada Yang Maha Esa. Kepalanya didongakkan sedikit seolah-olah sedang memandang pada-Nya dan bait-bait doa diutuskan satu persatu bersama-sama untaian airmata. Telus, sayu dan luluh. Semua rasa diadun serentak dalam acuan keredhaan.
“Semoga kau bahagia di sana. Aku pasti.” Ucapnya sebelum tangan mencapai senaskhah kalam suci bersaiz sederhana besar. Zip penutupnya dibuka dan diselak ke helaian yang bertanda.
“ A’uzubillahi minassyaita nirrajiim..Bismillahir rahmanir rahiim..”
Dhia memulakan bacaan dengan teliti supaya teratur rukun tajwidnya. Surah Yassin dialunkan dengan penuh makna. Sesekali terhenti bacaannya kerana ada titik jernih mula menuruni ruang pipi, sebak menghimpit dada hingga bergetar suaranya mengalunkan bait-bait suci-Nya. Namun, Dhia menggagahkan diri meneruskan bacaan hingga ke ayat terakhir.
“ Sadaqallahul’aziim...”
Dhia mengucap perlahan menandakan tamat bacaan. Al-Quran ditutup dan penutupnya dizipkan kembali. Tangan diangkat sekali lagi untuk berdoa khas buat sahabatnya yang kini terpisah oleh dua dunia yang berbeza.
Dhia melangkah sayu ke meja tulis lalu menarik kerusi dan melabuhkan duduknya dengan perlahan. Dicapai dua buah buku rujukan mata pelajaran Bahasa Melayu yang tersusun kemas di sisi meja. Dicapai pula bekas alat tulis yang penuh dengan pen pelbagai warna. Semua pen itu digunakan untuk menulis nota kecil sebagai rujukannya supaya lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Matanya terus tertancap pada salah satu muka surat buku itu. Satu perenggan habis dibaca, diulang sekali lagi. Usai bacaan kali kedua, Dhia mengulanginya untuk kali ketiga dan keempat namun, dia tidak menemui sebarang isi penting dalam perenggan tersebut. Dhia berhenti menelan semua maksud perenggan itu, menyedari tumpuannya bukan pada buku itu. Kotak fikirannya kini hanya penuh dengan sebaris nama iaitu Zaidi Imran.
Berita pemergian Zaidi masih lagi panas berbisik di benak dan hatinya, merenggut semua tumpuan Dhia untuk mengulangkaji pelajaran bagi subjek seterusnya untuk peperiksaan percubaan nanti. Sudah berkali-kali dia cuba untuk menyimpul maksud rangkaian ayat di helaian bukunya namun, ingatannya terlalu kejap memegang memori tentang lelaki itu. Akhirnya Dhia terpaksa menutup kembali buku-buku yang dibuka tadi kerana pada fikirannya tiada guna dia memaksa diri untuk belajar sedangkan otak sarat dengan maklumat-maklumat lain. Dia perlu delete mana-mana maklumat yang tidak berkenaan, membiarkan yang tertinggal hanyalah maklumat penting untuk diletakkan ke dalam folder yang lebih tersusun. Ya, folder ‘exam’.
Dhia bangkit dari duduknya lantas menuju ke ranjang bujang yang dihiasi dengan alas biru dari jenis cotton bercorak bulan dan bintang, dihiasi dengan serakan perkataan nite berwarna kuning. Itulah cadar kesukaannya, menimbulkan rasa tenang seolah-olah cadar itu yang membuatkan lena tidurnya setiap malam. Dicapai selimut bercorak petak-petak lalu dikibas beberapa kali supaya tiada habuk yang melekat pada cadarnya kemudian menepuk-nepuk bantal supaya selesa letak kepalanya nanti. Begitulah rutinnya sebelum merebahkan badan ke ranjang bujang itu.
Lemah sahaja pergerakannya seperti orang malas yang memaksa diri melakukan sesuatu tanpa rela. Dhia melentangkan tubuhnya. Tangan segera mencapai bantal bersaiz sederhana kecil diletakkan di atas dada dan dipeluk. Di atas katilnya sahaja terdapat empat biji bantal pelbagai saiz, bentuk dan warna yang sentiasa menemani tidur malamnya.
Dia pernah terbaca sebuah artikel pendek yang mengatakan orang yang tidur dengan banyak bantal adalah orang yang suka bergantung harap pada orang lain. Namun, pernyataan itu sedikit pun tidak mengganggu-gugat rutin tidur malamnya. Satu, dua atau sepuluh bantal sekalipun tidak penting. Apa yang penting baginya malam adalah waktu paling enak dibuai mimpi. Malam itu, lenanya ditemani kenangan-kenangan yang ditinggalkan oleh Zaidi Imran.
***
“Dhia...” Laung ibunya lembut dari luar kamar anak tunggal perempuannnya itu. Masih tiada jawapan dari dalam. Dhia masih berteleku di atas hamparan sejadah usai menunaikan solat subuh tadi. Sudah hampir sejam dia duduk di situ, kaku. Seolah-olah dia berada di dunia lain. Panggilan ibunya juga tidak disahut.
“Dhia tak mau makan ka? Semalam pun mak tengok hang tak makan malam.”
“Dhia tak dak selera la mak. Kalau Dhia lapar nanti Dhia pi makan. Mak jangan risau ya.”
Hanya sebaris ayat itu sebagai jawapan bagi soalan ibunya. Punggungnya seperti sudah melekat di hamparan sejadah itu. Sebelum beredar ibunya sempat berpesan supaya Dhia menerima pemergian Zaidi dengan sabar dan tidak terlalu mengikut perasaan. Kesihatan diri juga harus dijaga apatah lagi dia sedang dalam minggu peperiksaan. Pasti peperiksaannya terganggu sekiranya dia jatuh sakit.
Tambahan lagi, dalam agama Islam juga melarang sama sekali umatnya meratapi pemergian saudaranya secara berlebihan dan keterlaluan. Seharusnya setiap umat Islam mesti menerima qada’ dan qadar Allah SWT dengan penuh kerelaan untuk menjamin kesejahteraan arwah di alam sana. Sebaik-baiknya ayat-ayat suci dan doa dihadiahkan kepada mereka, sekurang-kurangnya surah Al-Fatihah.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nada dering klasik menjadi pilihan. Katanya malas mahu memuat turun pelbagai nada dering popular ketika itu. Dhia masih lagi kaku di atas hamparan itu. Telinganya seperti dipasang bahan kalis bunyi, tiada respon. Setelah berdering untuk kali ketiga barulah Dhia mula merangkak lemah ke meja di sisi katil yang terletak tidak jauh dari tempat solatnya lantas tangan dihulur untuk mencapai telefon bimbit pemberian babahnya.
“ Assalamualaikum...” Ucapan pertamanya tatkala menjawab panggilan telefon.
“ Waalaikumussalam. Aku nak pi rumah hang pukul 10 nanti. Hang free dak?”
Kedengaran suara sahabatnya Niza di hujung talian. Tanpa banyak bicara Dhia hanya mengiyakan saja pertanyaan Niza. Tidak mahu berfikir panjang kerana pastinya dia hanya akan memerap di dalam bilik. Tiada sebarang rancangan yang dia aturkan pada hari ini.
Setelah menamatkan perbualan dengan Niza, Dhia bangun melipat persalinan solatnya dan menyangkut di penyidai yang disediakan. Dia mula mengemas ranjangnya, menarik cadar hingga tegang, menyusun bantal-bantal dan melipat selimut hingga semuanya kelihatan kemas. Lantai disapu bersih hingga tidak terasa habuk melekat di kaki dan hari itu tiba giliran untuk dia mop lantai.
Begitulah kebiasaannya apabila mengemas bilik. Memegang prinsip bilik perlu kemas supaya sedap mata memandang, hati juga akan tenang kala berserabut dengan sebarang hal. Bilikku syurgaku katanya. Tapi cuma satu tabiat yang sukar sekali untuk diubah iaitu mengemas meja tulis. Pasti sakit mata yang memandang ke arah meja tulisnya. Walau sekemas mana pun bilik tapi meja tulisnya pasti semak dengan buku-buku dan alat tulis. Dia tidak suka mengemas meja tulis ketika dia sibuk mengulangkaji pelajaran. Pantang juga apabila ada orang lain cuba mengemas atau mengganggu keadaan meja tulisnya ketika buku-buku bersepah di atasnya.
Setelah dia berpuas hati dengan keadaan biliknya yang dirasakan sudah kemas, Dhia menarik kerusi di meja tulisnya dan melabuhkan punggung, mahu memulakan ulangkaji. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menepis semua rasa sayu dan sedih akibat kehilangan kawan yang disayanginya. Hidup perlu diteruskan. Itulah kata-kata klise yang sering digunakan oleh mana-mana manusia apabila ditimpa sesuatu musibah. Tapi memang benar kata-kata itu, hidup perlu diteruskan walau sesukar mana pun jalan yang ditentukan kerana semua yang berlaku adalah rancangan Yang Maha Kuasa. Dhia berpegang pada prinsip ‘rahsia hidup hamba-Nya adalah rahsia DIA’.
Buku rujukan dan buku latihan yang telah tersedia di atas meja dibukanya. Matanya melilau ke kiri, kanan, atas dan bawah mencari perenggan yang dibacanya semalam. Masih tidak ketemu maka diselaknya ke muka surat lain. Akhirnya mata Dhia tertancap pada satu perenggan yang gagal dihadamkan maksudnya semalam. Dengan lafaz bismillah Dhia memulakan pembacaannya.
Ralit dia mengulangkaji, sesekali jarinya pantas menulis akan ayat-ayat ringkas di atas lembaran A4 bergaris sebagai nota. Beberapa pen pelbagai warna digunakan untuk memberi kesan yang lebih menarik pada nota tersebut. Selain bertujuan untuk menarik minat sepasang matanya untuk membaca, penggunaan pen pelbagai warna juga bertujuan untuk menampakkan dengan lebih jelas poin-poin penting bagi sesuatu tajuk. Pastinya warna-warna yang terdapat pada ayat-ayat utama itu akan meninggalkan kesan pada kotak memorinya.
Tingkahnya mengulangkaji menunjukkan dia boleh menumpukan sepenuh perhatian pada pelajarannya walaupun kesedihan masih bersisa di hati. Ketekunan dan semangat yang ada digunakan sebaiknya demi kejayaannya dalam peperiksaan nanti.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Terdengar suara seseorang memberi salam. Dhia memandang jam loceng yang berada di atas mejanya.
“Ya Allah. Dah pukul 10.15 pagi. Sungguh aku tak sedar”. Getus Dhia di dalam hati.
Begitu khusyuk dia mengulangkaji hingga tidak sedar waktu sudah menginjak ke jam sepuluh pagi.
“Waalaikumussalam..”
Seraya menjawab salam, tangannya menarik selak pintu bilik, mahu membenarkan Niza masuk. Senyuman pagi dihadiahkan kepada Dhia. Dhia juga membalas dengan senyuman walaupun terselit sedikit rasa pahit dalam senyuman itu. Matanya juga sembap kerana terlalu banyak menangis.
“Masuklah...”
Niza membuntuti langkah Dhia. Dijemput rakannya itu duduk di katilnya sementara dia mengeluarkan sebuah meja kecil berkaki lipat atau lebih gemar Dhia menggelarkannya ‘meja Jepun’ kerana mereka perlu duduk bertimpuh atau bersila, sama seperti orang Jepun yang menjamu selera di meja makan.
Dhia menurunkan semua buku dan alat-alat tulisnya ke atas ‘meja Jepun’ sambil dibantu oleh Niza. Niza juga mengeluarkan buku-buku dari beg sandangnya. Mereka akan memulakan perbincangan kumpulan tentang tajuk yang telah dipersetujui sebelumnya. Begitulah rutin mereka ketika mengulangkaji pelajaran. Kadang-kala belajar bersendirian, kadang-kala selesa melakukan perbincangan. Isi utama lebih mudah diingati melalui perbincangan kerana masing-masing mempunyai pendapat dan idea yang boleh dikongsi bersama-sama.
“Apa kata kita pi makan dulu? Aku lapar la...” Dhia menunjukkan mimik muka yang meminta simpati.
“Yelah...” Niza tersenyum. Jauh di sudut hatinya, dia lega melihat sahabatnya sudah boleh menerima kenyataan semalam.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment