Wednesday, June 23, 2010

DHIA NUR 'AISYA : BAB 3


BAB 3

“Ok exam dah habis. Nak dak kita pi rumah arwah, ziarah keluarga dia?”

Soal Ruby di meja makan ketika waktu rehat. Ruby, Dira, Imah dan Niza merupakan sahabat karib Dhia. Begitulah akrabnya hubungan mereka berlima ketika di sekolah. Restoran Pak Mail dan isterinya Kak Na, sentiasa menjadi pot utama mereka berlima untuk menjamu selera ketika waktu rehat malah pada hari cuti juga kedai itu akan menjadi persinggahan mereka selepas penat berjalan-jalan di pekan. Begitu hebat penangan masakan lauk-pauk beraneka jenis hasil air tangan Kak Na. Masakan Pak Mail juga apa kurangnya, lagi-lagi menu mee bandung. Mahu angau dibuatnya. Eh, bukan pada Pak Mail tapi pada masakannya!

“Nak.. Yang lain macam mana?” Jawab Dhia lantas meminta jawapan dari rakan-rakan yang lain.

“Aku on ja. Kita ajak kawan-kawan yang lain nak? Jangan lupa ajak Cikgu Marina sekali.”

Dira memberi cadangan supaya mengajak rakan-rakan sekelas yang lain dan juga Cikgu Marina, guru kelas mereka.

“Kalau macam tu, kita pi hari Jumaat ni nak?” Ruby mengatur rancangan.

Waktu itu hanya Ruby seorang sahaja di antara mereka berlima yang memegang lesen memandu. Mujurlah ada juga yang boleh memandu kereta walaupun dia baru beberapa bulan lulus ujian memandu. Mereka mula memikirkan waktu yang sesuai dan kereta. Ya, kereta merupakan subjek kedua yang utama dalam rancangan tersebut, menyewa kereta untuk mereka berlima.

Pagi Jumaat itu, seperti yang dirancangkan, semua telah berkumpul di tempat yang ditetapkan, hanya menunggu Cikgu Marina yang masih belum tiba. Sepuluh minit kemudian, muncullah Cikgu Marina, manis berbaju kurung merah jambu, bertudung rona sama tetapi sedikit gelap dari rona latar bajunya. Dia seorang guru yang bijak bergaya malah banyak koleksi baju kurungnya mempunyai pelbagai fesyen dan potongan yang sememangnya kelihatan molek sekali dengan susuk tubuhnya yang ramping. Maklumlah, anak dara la katakan.

Masing-masing tidak banyak bicara sepanjang perjalanan. Hanya Dira yang sesekali bersuara memberi petunjuk ke rumah keluarga arwah Zaidi. Dia sememangnya pakar tentang selok-belok jalan kampung tidak kira ceruk mana pun, hampir semua diketahuinya. Jauh perjalanan luas pengetahuan, katanya. Kereta Kancil yang disewa hanya muat untuk Dhia dan gengnya sahaja. Cikgu Marina dan tiga lagi pelajar lain menaiki kereta yang dipandu Amar, salah seorang rakan sekelas yang memandu kereta kepunyaan bapanya manakala yang lain-lain menunggang motosikal.

Setelah hampir 30 minit perjalanan, mereka sampai di tempat yang dihajati. Kereta dan motosikal dipakir di halaman rumah itu. Dhia menjadi orang pertama memberi salam. Pintu dikuak perlahan. Muncul wajah tua seorang wanita berusia lingkungan 50-an. Dhia terpempan melihat wajah wanita itu. Kakinya seakan kaku, pandangannya juga masih melekat pada wajah tua itu.

Ya Allah. Wajahnya...” Bisik hati Dhia.

Ya, wajah tua itu mengingatkannya pada arwah sahabatnya itu. Wajahnya saling tak tumpah iras wajah ibunya.

Dhia menghulurkan tangan menyalami wanita itu dan mencium tangannya tanda hormat. Diikuti rakan-rakan yang lain. Kemudian muncul seorang lelaki yang pastinya seusia dengan wanita tadi namun, kelihatan masih kuat kudratnya. Setiap pagi memanjat kawasan bukit untuk menoreh getah dan ditawafnya kawasan itu sehingga jam 10 pagi maka staminanya pasti boleh tahan. Aku yang muda ni, panjat sepuluh anak tangga pun dah mengah!

“Masuk,masuk. Oh ni la kawan-kawan sekelas Zaidi?” Soalnya ramah. Senyuman juga tak lekang dari bibirnya.

Penuh ruang tamu rumah kampung dua tingkat itu dengan 24 susuk manusia yang datang menziarahi keluarga rakan mereka. Lelaki tua itu ramah sekali berbicara itu dan ini dengan sekumpulan rakan-rakan lelaki yang duduk di satu sudut. Begitu juga dengan wanita tua yang berada di hadapan Dhia. Dia juga ramah orangnya namun, wajah itu nampak sedikit keruh, senyumannya juga tawar, bicaranya juga mendatar sahaja.

Sedikit demi sedikit perbualan mereka menyentuh tentang tragedi yang menimpa anak kesayangan pasangan itu dua minggu yang lalu. Wanita tua itu dilihat beberapa kali mengesat airmata dengan lengan bajunya ketika mendengar suaminya menceritakan detik-detik kehilangan Zaidi Imran.

“Mulanya dia tak mau pi. Tapi tak tau macam mana dia ubah fikiran nak ikut kami pi bercuti di Langkawi. Dia bawak sekali buku-buku sekolah dia, katanya boleh baca masa kat sana nanti..” Mendatar sahaja suara lelaki tua itu, pastinya masih terkesan dengan peristiwa hitam yang baru melanda keluarganya.

“Sebelum depa mandi petang tu, pakcik pesan ramai-ramai kat depa, semua anak-anak pakcik ni. Suruh depa hati-hati masa mandi kat laut tu sebab dah ramai orang sana pesan pantai tu selalu ‘makan orang’...”

Masing-masing ralit menadah telinga mendengar cerita Pakcik Hassan. Kelompok pelajar perempuan juga sama. Tiada yang bersuara mahupun cuba menyoal Pakcik Hassan walaupun di dalam hati mahu bertanya untuk mendapatkan situasi yang lebih jelas.

“Dia dah selamatkan anak menakan dia, ombak tarik pi ke tengah sikit tapi dia dan tarik tangan budak tu bawak pi pantai. Tapi entah macam mana ada ombak kuat mai sekali lagi bawak arwah pi...”

Wanita tua itu terus menangis tapi yang pasti dia seorang ibu yang sangat tabah. Cikgu Marina yang duduk di sebelahnya cuba memujuk dengan mengusap-usap lembut belakang wanita tua itu sambil meminta dia terus bersabar. Dhia dan beberapa rakan yang lain juga sudah menghabiskan dua tiga helai tisu, mengelap airmata yang mencurah-curah ke pipi.

“Pakcik tengok dengan mata kepala pakcik sendiri, macam mana dia duk terkapai-kapai. Tapi pakcik tak boleh nak buat apa. Dia dah lepas pi ke tengah. Abang-abang dia pi kot tepi-tepi batu cuba nak sambut dia tapi tak dapat. Tak lama lepas tu dia hilang...”

Pakcik Hassan tunduk. Ada getar di hujung bicaranya. Jari-jemari tuanya menyapu airmata yang bergenang di tubir mata, melarang dari menitis.

Dada Dhia juga sesak dibuatnya. Airmatanya juga semakin meriah, berlumba-lumba mahu menuruni ruang pipinya. Sepaket tisu yang siap sedia dibawa juga telah separuh digunakan. Walaupun bukan dia yang berhadapan dengan situasi itu tapi bayangan sahabatnya terkapai-kapai seperti yang diceritakan oleh Pakcik Hassan, ditayangkan di dalam benaknya. Perasaan sedih meruntun-runtun jiwanya. Tidak dapat dia membayangkan bagaimana keadaan dan perasaan seorang ayah yang melihat anaknya sedang bertarung nyawa di tengah laut sedangkan dia tidak mampu melakukan apa-apa.

Mungkin mendapat sedikit kekuatan, wanita tua yang dipanggil Makcik Rabiah mula bersuara. Dia menceritakan bagaimana baiknya peribadi arwah anaknya itu. Jelas dari ceritanya bahawa dia sekeluarga amat menyayangi Zaidi Imran. Arwah Zaidi merupakan anak bongsu dan juga anak kesayangan pasangan Pakcik Hassan dan Makcik Rabiah malah abang-abang dan kakak-kakaknya juga menyayangi arwah adik mereka. Begitu tinggi akhlak insan yang bernama Zaidi Imran sehingga disayangi sedemikian rupa. Bukan sahaja keluarganya malah rakan-rakan dan guru-guru di sekolah juga menyenangi tingkahnya yang santun.

Sedar tak sedar sudah hampir dua jam mereka berbual dengan pasangan tua itu. Dhia dan beberapa orang rakan perempuannya ringan tangan untuk mengangkat cawan-cawan kosong dan membawa ke dapur untuk dicuci setelah menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh dua orang anak perempuan Makcik Rabiah. Setelah selesai semuanya, Cikgu Marina mewakili semua pelajar meminta izin untuk pulang. Di luar, seorang lelaki telah menunggu di sisi motosikalnya, mahu menunjukkan lokasi kubur arwah Zaidi Imran.

Saiful mengetuai bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Kemudian diikuti dengan doa ringkas yang dibacakan dalam bahasa Melayu. Suasana sunyi di kawasan perkuburan mengundang rasa sayu di hati semua yang sedang menghadap kubur yang masih merah tanahnya. Ditambah dengan alunan ayat-ayat suci dan doa yang dibaca dengan nada yang mendayu-dayu pastinya menambah kesan ke dalam perasaan masing-masing. Lelaki yang duduk mencangkung di hujung nisan kubur itu dilihat sedang menyeka airmata. Dia juga kalah pada takdir yang menimpa arwah adiknya. Jiwa tegar lelakinya juga cair kala berhadapan situasi itu.

Suasana kelas pagi itu agak sepi. Entah kenapa masing-masing tidak banyak bicara seperti kebiasaannya yang tidak ubah seperti pasar borong. Kelas tambahan yang diadakan pada setiap hujung minggu tamat sepuluh minit lebih awal.

“Dhia, lepas ni hang nak pi mana?”

“Aku nak balik rumah. Awat?”

“Saja tanya. Aku ingat nak ajak hang pi pekan. Tak pa lah. Lain kali kita pi.”

Perbualan Niza dan Dhia terhenti di situ. Dhia masih menunggu babahnya datang mengambilnya seperti biasa. Di sudut tiang itulah tempat Dhia menunggu orang tuanya selepas habis waktu kelas tambahan. Di sudut itu jugalah dia dan arwah Zaidi bersembang kosong sementara dia menunggu kelas yang seterusnya manakala Dhia akan pulang. Namun pagi itu, tiada lagi susuk tubuh Zaidi Imran yang menemaninya dengan cerita dan gurau sendanya. Tiada lagi.

“Dhia...Dhia...”

Sayup-sayup kedengaran suara itu memanggilnya.

Segera Dhia menyeka airmata yang masih berbaki. Panggilan ibunya mematikan lamunan panjangnya mengenangkan kehilangan sahabat baik enam tahun yang lalu. Album itu juga ditutup dengan sedikit keluhan. Mungkin penat berlayar dalam kenangan lama, lelah bermain dengan perasaan yang berakhir dengan kesedihan yang terlalu mengusik hatinya.

“Awat mak?” Dhia segera menjawab panggilan ibunya tadi.

“Tak sembahyang lagi ka? Dah pukul berapa ni?” Pertanyaan yang sedikit tegas bunyinya.

Matanya pantas mengerling jam di dinding. Bulat matanya melihat jarum jam menunjuk ke angka lapan dan jarum minit ke angka 2.

“Ya Allah! Dah pukul 8.10!” Tergesa-gesa Dhia bagai lipas kudung menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mujur dia mandi awal petang itu. Kala itu juga dia teringatkan kata-kata seorang ustaz di sekolah lamanya.

Orang yang suka menunaikan solat pada hujung-hujung waktu atau suka melewat-lewatkan solat, umpama Allah akan mengambil ibadatnya dan mencampakkan kembali ke muka hamba-Nya”

“Astaghfirullahal ‘azim...” Dhia membelek-belek di cermin memastkan tiada seurat rambut pun yang terkeluar di sekitar wajahnya lantas solat didirikan dengan sempurna mengikut rukun dan tertibnya.

Usai solat, Dhia mengalunkan dua tiga helai ayat-ayat suci Al-Quran bagi mengisi ruang kosong sementara menunggu masuknya waktu ‘Isyak. Itulah rutin hariannya selepas menunaikan solat lima waktu. Pastinya dua atau tiga helaian kitab suci itu dibaca untuk memohon keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala, kadang-kadang hingga habis satu juzuk. Dhia percaya bahawa setiap baris bait-bait suci Allah punya penawar bagi setiap jiwa manusia maka dia akan terus membaca tanpa timbul rasa jemu malah hatinya akan rasa begitu tenang sekali.

Sedang fikirannya mula terawang-awang, kedengaran sayup-sayup alunan azan berkumandang menandakan masuknya waktu ‘Isyak. Dhia mula bersiap sedia untuk menunaikan waktu terakhir bagi kewajipan kedua yang termaktub di dalam rukun Islam.

Rancangan bersiri kegemarannya sudah bermula. Dhia telah bersiap sedia di atas sofa paling dekat dengan kotak televisyen. Seolah-olah jika berada jauh, jalan ceritanya tidak dapat dijiwai dengan baik. Ya, siapa yang tidak meminati drama bersiri Nur Kasih yang menampilkan Fizz Fairuz dan Remy Ishak sebagai hero dalam drama yang cukup-cukup memberi impak besar dalam jiwa seluruh penontonnya.

Buktinya ada pada seorang penonton ini, siapa lagi kalau bukan Dhia Nur ‘Aisya! Andai watak Adam sedang marah maka Dhia juga merasakan perasaan yang sama, berkerut-kerut keningnya kerana menjiwai babak itu. Bila watak Nur menangis kerana tertekan dengan masalah rumahtangganya maka Dhia juga menangis seperti dia pula yang mengalami masalah itu. Dhia..Dhia. Tapi jika ditonton bersama-sama mak dan babahnya, terpaksa la dia menahan airmatanya dari menitis, malu dan takut dikatakan over acting.

Tiba-tiba terdengar alunan suara Justin Timberlake menyanyikan lagu Cry Me A River. Lagu yang Dhia pilih untuk nada dering telefon bimbitnya. Tangannya pantas menggapai gajet hitam berjalur hijau yang terletak di sisinya. Nombor yang tertera tidak begitu familiar pada pandangan dan ingatannya.

Sapa pulak ni! Kacau betul la orang tengah feeling-feeling tengok Nur Kasih ni! Geram hatinya bila diganggu. Dhia menjawab dengan penuh tanda tanya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Dhia kan?”

Ish, dah tau nak call aku kenapa tanya lagi!. Hatinya mengomel geram. Berganda-ganda geramnya.

“Siapa ni?” Longat utaranya diketepikan seketika memandangkan nombor pemanggil itu bermula dengan angka dua. Bermakna dari kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

“Saya ni, Haziq. Ingat lagi tak?”

Serta-merta hati Dhia berdebar. Haziq!... Sepotong nama itu sangat diingatinya sehingga kini.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment