BAB 4
Tiba-tiba pintu ditolak kuat dari luar. Berselerak buku-buku dan fail di atas lantai. Seorang lelaki yang sedang kelam-kabut kerana terlewat ke kelas telah menghuru-harakan lagi keadaan dengan melanggar seorang pelajar.
“Err..sorry, sorry. Saya tak sengaja. Sa..saya nak cepat...”
“Awak okey?”
Terbongkok-bongkok Dhia mengutip buku dan fail yang berterabur di lantai. Pertanyaan lelaki itu tidak diendahkan. Perasaan marah sudah hinggap di dahan hatinya. Wajahnya juga mencuka. Lagi masam dari cuka rasanya.
Huh, sorry, sorry! Kalau pintu tu kena muka aku, kata sorry tu boleh legakan sakit? Amarahnya meledak di dalam hati.
Lelaki itu juga cuba membantu mengumpulkan barang Dhia, mahu membetulkan kembali keadaan yang baru dia huru-harakan sebentar tadi. Dhia sudah pun berdiri. Lelaki itu juga berdiri dan menghulurkan sebuah fail nipis kepada Dhia. Kelihatan di dalamnya seperti assignment yang perlu dihantar. Isi fail itu dapat dilihat dengan jelas melalui kulit depan fail yang lutsinar. Fail kini bertukar tangan namun Dhia sedikit pun tidak memandang ke arah lelaki itu.
“Terima kasih...” Kedengaran terpaksa sekali bunyinya.
“Sama-sama. Sekali lagi saya minta maaf..”
Kedengaran ikhlas ucapan maaf lelaki itu tetapi kerana bara di hati Dhia masih belum reda, wajahnya juga turut terkena tempias akibat rasa amarah itu.
“Saya nak cepat. Lecturer saya jenis yang punctual. Dia tak suka student dia datang lepas kelas bermula..”
Lelaki itu memberi penerangan, cuba membuang rasa bersalah yang semakin menebal bila melihat wajah Dhia yang mencuka. Tanpa menyambut kata-kata lelaki itu walau dengan sebentuk huruf sekalipun, Dhia memaku jari telunjuknya pada sehelai kertas yang ditampal di hadapan pintu dewan kuliah itu.
“KELAS MEDIA INTEGRATIF (MD 2013) KUMPULAN D PADA JAM 10.30 PAGI DIBATALKAN. PN. MARLINA MENGHADIRI MESYUARAT. HARAP MAKLUM.”
Dhia sudah berlalu pergi ketika lelaki itu sedang membaca notis yang ditunjukkan tadi. Sayup-sayup sahaja Dhia mendengar lelaki itu mengeluh dan merungut. Geram barangkali sedangkan dia bergegas ke dewan kuliah hingga accident dengan perempuan, alih-alih kelas batal! Lelaki itu segera meraba-raba kocek seluarnya mencari telefon bimbit. Mencari nama rakan sekelasnya dan terus didail nombor yang dicari.
“Boy, kau tau tak kelas media takde?” Soalnya, geram.
“Hah! Apasal kau tak cakap dengan aku? Dah la aku bangun lambat. Terkejar-kejar aku ke kelas, alih-alih kelas takde! Sakit hati aku, bro!”
Bertubi-tubi patah bicaranya bak machinegun hinggakan kawannya tidak sempat membalas. Dia terus mematikan talian telefon. Sebenarnya, dia bukannya geram sangat kerana kelas dibatalkan tapi geram kerana hampir-hampir mencederakan orang. Pintu dewan kuliah tu boleh tahan kerasnya. Kalau terhentak pada dahi orang silap-silap boleh hilang ingatan. Hilang ingatan? Ada kemungkinankah?
Ah, tidak kisah itu semua. Masalahnya sekarang ini bukan pasal hilang ingatan tetapi subjek utama bagi kes ini ialah perempuan! Ya, PEREMPUAN! Bayangkan, bagaimana kalau pintu itu terkena muka atau terkena hidungnya? Mukanya cedera atau hidungnya patah! Ish, nasib aku masih baik sebab semua bayangan tu bukan kenyataan tapi... Hatinya terus mengomel. Timbul segala rasa bersalah, kesal dan malu pun ada.
Lelaki itu berjalan menuju ke kafeteria di tingkat bawah fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden, Universiti Utara Malaysia. Dia kini berada di semester empat, jurusan Komunikasi. Jika diikutkan perkiraan sebenar, dia sudah pun berada di semester akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.
Dia terus menuju ke kaunter makanan yang menghidangkan pelbagai lauk-pauk beraneka jenis. Namun, seleranya untuk menjamah nasi campur di gerai Kak Saadiah mati tiba-tiba sedangkan ketika dalam perjalanannya ke kelas tadi, beberapa pilihan lauk-pauk telah disenaraikan di benaknya. Hari itu, dia memilih bihun sup sebagai santapan paginya. Setelah membayar dia terus ke kaunter minuman, seperti biasa menu pilihan adalah teh ais. Pagi itu, dia keseorangan tanpa ditemani mana-mana rakannya. Dia percaya mereka masih bergulung di dalam selimut setelah mengetahui kelas dibatalkan.
Sambil menikmati sarapannya, matanya melilau melihat siswa siswi lalu-lalang di sekitar kafeteria itu. Kadang-kadang terbit rasa rindu untuk makan bersama-sama rakannya ketika dia masih berada dalam jurusan lama, tapi kini sukar sekali mahu berkumpul dengan mereka kerana masing-masing sudah berbeza waktu kelas.
Pernah dia terserempak dengan Rizal dan Hadi, teman sekelasnya dahulu di kafeteria ketika dia mahu makan tetapi pelawaannya untuk makan bersama ditolak kerana mereka perlu menghadiri kelas. Rindu memang rindu namun, dek kerana minat akan hala tuju dalam jurusan Komunikasi ditambah pula dengan cerita-cerita daripada beberapa temannya yang mengikuti jurusan ini sejak mula, telah menguatkan nekadnya untuk menukar kursus, dari Business ke Komunikasi. Lagipun dia memang tidak begitu berminat dengan jurusan asalnya kerana minatnya bukan ke arah itu.
Ah, aku peduli apa bila orang kata aku dah rugi umur. Umur aku, aku punya suka la! Dia tersenyum sahaja apabila ramai juga teman terutama dari jurusan lama termasuk beberapa ahli keluarganya, cuba memujuk supaya dia tidak menukar ke jurusan baru tetapi hatinya sudah nekad. Dia tidak akan berganjak walau seinci pun dari keputusannya.
Apa yang penting baginya adalah dia selesa berada dalam jurusan sekarang kerana merasakan dia sudah berada di landasan yang betul untuk menjadi seorang wartawan.
“Kenapa nak tukar? Bukan ke rugi umur Haziq nanti?”
“Ma..Haziq minat nak jadi wartawan.” Ketegasan kata itu berselindung di sebalik segaris senyuman manis Haziq.
“Cuba Haziq beritahu papa, apa yang seronok sangat kerja tu?” Papanya pula mencelah. Sememangnya mereka mahu tahu sebab-musabab anak lelaki mereka yang seorang itu memilih kerjaya wartawan sebagai kerjaya utama selepas tamat pengajiannya nanti.
Entah apa yang menarik minatnya untuk mengejar kerjaya itu, tidak tahu pula. Itulah persoalan yang sering menari-nari di benak ibunya, Suhaina dan bapanya, Siddiq. Setiap kali diajukan soalan itu pada Haziq, hanya senyuman yang diberi menggantikan jawapan berbentuk kata-kata. Haziq juga sudah penat dan lali mahu menjawab soalan yang sama setiap kali dia bersemuka dengan orang tuanya. Suatu hari nanti, mama dan papa pasti akan menerima keputusannya dengan redha. Bukan tidak elok kerja wartawan, kerja halal juga. Apa salahnya kan? Dia berkira-kira sendiri.
Haziq sememangnya tahu niat dan hasrat papanya yang mahu dia bekerja di syarikat keluarga mereka itu. Syarikat yang menguruskan bekalan kain ke seluruh kilang pakaian, pasaraya dan kedai-kedai kain di seluruh Malaysia merupakan sebuah empayar perniagaan fabrik sejak ditubuhkan oleh datuknya 30 tahun yang lalu. Kini, syarikat itu dikemudikan oleh Siddiq dan beberapa ahli keluarga yang lain sebagai ahli lembaga pengarah.
“Haziq pun tahu kan, syarikat ni Atuk Mustapha dan Atuk Lutfi yang usahakan. Susah payah mereka mengerah keringat untuk capai apa yang kita ada sekarang.” Pujuk Siddiq. Payah benar mahu melembutkan hati anak lelakinya itu.
“Kalau boleh papa mahu senarai ahli lembaga pengarah hanya terdiri daripada ahli keluarga kita saja.”
Siddiq memandang Haziq dengan penuh harapan. Haziq dapat membacanya dari sinar mata bapa kesayangannya itu. Dia masih berbelah bahagi untuk memenuhi hasrat orang tuanya atau hasrat empunya diri. Apa yang pasti, hatinya masih kuat berpegang pada keputusannya.
“Pa...” Lembut sahaja suaranya. Jauh di sudut hati, dia tidak sampai hati mahu mengecewakan hasrat orang tuanya itu.
“Haziq mohon agar papa dan mama merestui cita-cita Haziq. InsyaAllah, suatu hari nanti, pasti Haziq akan menjejakkan kaki di syarikat itu. Haziq juga tak mahu kecewakan harapan papa, cuma...bukan sekarang.”
Tangan Haziq sudah menggenggam tangan Siddiq, cuba berbicara dari hati ke hati malam itu di bilik bacaan. Mahu tidak mahu, Siddiq perlu merestui keinginan anak lelakinya itu untuk menjadi seorang wartawan.
Haziq merupakan anak lelaki bongsu Siddiq. Suhaina hanya ibu tiri dan telah menjaga Haziq sejak kematian ibunya akibat kanser serviks. Walaupun cuma ibu tiri tetapi Suhaina amat menyayangi Haziq seperti anak yang lahir dari rahimnya sendiri malah tidak pernah dibeza-bezakan kasih sayangnya pada Haziq dan dua anak perempuannya, Sarah dan Shira. Haziq juga sangat mengambil berat akan perihal adik-adik tirinya, lebih-lebih lagi tentang pelajaran. Apa lagi Sarah akan menduduki SPM manakala Shira akan menduduki PMR tidak lama lagi.
Sebab itulah orang tuanya cuba memujuknya supaya tidak menukar jurusan kerana mereka mahu dia dibekalkan dengan ilmu yang berkaitan dengan dunia perniagaan supaya senang dia mengendalikan urusan-urusan di pejabat. Tinggi sungguh hasrat papa ya. Bisik Haziq di dalam hati. Maafkan Haziq papa. Bukan Haziq mahu menentang hasrat papa tapi Haziq punya kebebasan untuk memilih kerjaya yang Haziq suka. Seringkali rasa bersalah mencuit hatinya kala terfikirkan hal itu. Namun, dia tidak mampu menyekat kata hatinya yang mahukan dia menjadi seorang wartawan.
“Panggg...!!!”
Sepinggan nasi ayam dan semangkuk sup telah berdulangkan lantai.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment