BAB 5
“Aku geram betul dengan mamat tadi. Nasib baik pintu tu tak kena muka aku!”
“Alah, dia tak sengaja la. Kan dia dah minta maaf. Lagipun muka kau selamat kan?” Riana cuba mengawal rasa amarah Dhia dengan wajah comelnya.
Riana memang begitu, orangnya periang dan sukar sekali mahu melihat dia dalam keadaan tertekan. Sentiasa senyum dan ketawa, mulutnya juga boleh tahan becoknya. Sesiapa yang berada bersama-samanya pasti lupa akan masalah seketika, dia umpama penawar yang mengubati penyakit hati rakan-rakannya.
“Ish, bayangkan la pintu tu betul-betul kena muka kau...” Riana pura-pura mengelamun cuba membayangkan keadaan itu.
“Habis jatuh saham kau. Mungkin menurun hingga RM3000 je kot!”
“Murahnya!” Sambut Laila. Berhambur gelak tawa mereka bertiga.
“Cik Aspalela oi. RM3000 pun laku jugak. Kau tu, entah-entah RM2000 pun belum tentu dapat!” Tajam jelingan Dhia, geram. Laila sudah digelarnya Aspalela. Riuh meja di sudut kafeteria itu dengan gelak tawa mereka.
Selepas tamat peperiksaan STPM, Dhia ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Komunikasi di Universiti Utara Malaysia. Dia dan empat sahabat baiknya di sekolah telah terpisah kerana mereka tidak berjaya ditempatkan di mana-mana pusat pengajian tinggi kecuali Dira yang mahu menyambung pengajian di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
Kini, Dhia berada di dunia baru. Dunia sebagai seorang mahasiswi. Begitu juga dengan teman-temannya yang sentiasa menemaninya. Riana, Laila, Omi dan Dhia begitu setia sejak dari semester pertama. Kebetulan ketika pendaftaran di semester tiga, Dhia dan Laila menjadi rakan sebilik cuma Omi dan Riana berasingan kolej kediaman. Walaupun begitu, jarak bukan penghalang untuk mereka menghabiskan waktu bersama-sama.
“Eh, nak ke mana pulak tu Cik Aspalela?” Soal Omi bila melihat Laila bangun dari tempat duduknya.
“Baby aku nak makan lagi.” Tangan Laila mengusap-usap perutnya.
“Cis, baby konon. Kalau dah perut jin tu, mengaku je lah!” Suara Omi sedikit melaung bila Laila semakin jauh.
“Hish..kuat makan betul budak ni!” Rungut Riana. Mata mereka masih tertumpu pada Laila. Mahu tahu gerai mana yang ditujunya setelah perutnya diisi dengan dua keping roti canai kosong. Masing-masing menggeleng kepala melihat gelagat Laila pagi itu.
Ketika mereka sedang rancak berbual, tiba-tiba terdengar bunyi bising di bahagian atas kafeteria itu. Disebabkan kawasan itu agak berbukit maka ruang kafeteria itu juga jadi bertingkat-tingkat. Kelihatan Laila sedang berdiri kaku di hadapan seorang lelaki. Dhia dan yang lain-lain segera ke tempat kejadian apa lagi mangsa utama adalah Laila, si gadis yang ‘keras’ orangnya. Bimbang kalau-kalau singa yang sedang lapar itu mengaum di pagi hari.
“Habis la mamat tu kena sound dengan Laila.” Kata Omi cemas. Mereka bertiga berkejar ke situ, mahu mengelakkan peperangan tercetus antara Amerika dan Iraq.
“Maafkan saya...Saya betul-betul tak sengaja langgar awak.” Lelaki itu mengucapkan maaf pada Laila dengan wajah yang cemas dan rasa bersalah. Matanya memandang lantai melihat nasi ayam yang berterabur di hujung kakinya.
“Err..takpe. Awak tak sengaja kan. Bukan salah awak.” Lembut dan bersopan sekali tutur kata Laila. Di bibirnya juga sudah tersungging senyuman manis yang jarang-jarang dia berikan pada mana-mana manusia.
Terkebil-kebil mata Dhia, Omi dan Riana mendengar patah bicara Laila. Lailakah itu? Lailakah yang lemah-lembut lagi bersopan-santun itu? Di benak mereka penuh dengan tanda soal dengan garis panjang yang kosong tanpa jawapan.
“Nah, saya gantikan nasi ayam ni.” Lelaki itu menghulurkan sekeping not merah pada Laila.
“Eh, takpe-takpe. Awak tak perlu ganti. Dah bukan rezeki saya.”
“Jangan macam tu. Saya rasa bersalah kalau awak tak ambil duit ni.”
“Takpe. Awak simpanlah duit tu. Lagipun saya dah makan tadi. Masih kenyang. Betul.” Laila cuba meyakinkan lelaki itu supaya menarik balik tawarannya untuk menggantikan nasi ayam yang sudah berdulangkan lantai tadi.
Laila menoleh ke arah rakan-rakannya yang sedari tadi asyik menonton drama sebabak tidak langsung itu. Di bibirnya juga masih melekat senyuman manisnya, tak lekang.
“Awak...”
Segera Laila menoleh ke belakang, memandang ke arah suara yang memanggilnya. Dia pura-pura berwajah selamba sedangkan di dalam hatinya sudah terbit satu perasaan yang berbunga-bunga, seperti mahu meloncat ke bulan.
“Terima kasih..sekali lagi saya minta maaf.” Lelaki itu menghadiahi Laila segaris senyuman, senyuman yang bisa menggugurkan jantung wanita yang memandang dan sekarang wanita itu adalah Laila, si gadis ‘keras’. Laila juga membalasnya dengan senyuman sambil hati berdoa semoga mereka dipertemukan lagi.
Dhia dan yang lain-lain masih terpaku di situ, tidak sedar Laila sudah mendekati mereka. Laila menepuk bahu Omi, mengajak mereka beredar. Sambil berjalan Dhia masih sempat menoleh ke arah lelaki itu. Lelaki itu segera mengangkat tangan dan melambai ke arahnya. Ya, senyuman lelaki itu mampu menggegarkan hati mana-mana gadis yang memandang. Sungguh menawan!
“Eh, kau kenapa tadi? Tiba-tiba je jadi perempuan...” Omi sengaja bertutur sinis. Mahu melihat reaksi Laila.
“Woi, cakap baik-baik sikit. Dah memang aku perempuan kan!” Tajam jelingan Laila, tepat ke mata Omi.
“Amboi, indahnya bahasa! Tadi bukan main bersopan lagi ayu bercakap dengan mamat tu.” Omi membalas.
“Kenapa, kau dah tangkap cintan dengan mamat tu ke?” Omi cuba menduga.
Tiba-tiba Laila menoleh ke sisi lantas memegang kedua-dua pipi Omi. Matanya bulat memandang Omi, mulutnya sedikit demi sedikit mula mengukir senyuman. Laila memejamkan mata.
“Yess...i think i’m in love...” Terhambur tawa Laila. Bergema ruang kosong di laluan antara dewan kuliah. Banyak mata memandang ke arahnya.
Dhia, Omi dan Riana memandang sesama sendiri. Pelik, hairan dan rasa aneh dengan kata-kata Laila. Laila jatuh cinta? Mana perginya prinsip ‘No More Boys’ yang dipegangnya sebelum ini? Omi menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.
“Weh, ni apahal muka sekor-sekor macam beruang tak cukup tidur? Bingung je..” Laila menyergah ketiga-tiga temannya yang kebingungan.
“Dah la. Jom masuk kelas.” Laila menarik tangan Dhia. Girang sekali riaknya. Tanpa banyak bicara, Omi dan Riana membuntuti mereka.
Mereka berempat duduk sebaris di barisan tengah dewan kuliah itu. Lebih jelas pandangan ke arah skrin di hadapan berbanding duduk di bahagian tepi dewan.
“Wait a minute...” Laila bersuara.
“Korang perasan tak, mamat yang langgar aku tadi adalah mamat yang sama yang langgar Dhia kan?” Masing-masing mula berfikir-fikir tapi Dhia hanya berwajah selamba. Malas mahu mengambil tahu. Sebenarnya dia memang sudah menyedarinya sejak terpandang lelaki itu ketika insiden di kafeteria tadi.
“Ye la. Patut la aku rasa macam pernah nampak.” Omi menyambut kata-kata Laila.
“Oi, Dhia! Betul mamat tu yang langgar kau kan?” Laila menyiku Dhia yang mengelamun.
“So?...” Ringkas sahaja tindak balas Dhia.
“Korang rasa dia course apa eh? Ish handsome kan?” Laila sudah tersengih. Mulalah nak berangan. Omi, Dhia dan Riana sudah menjeling sinis ke arah Laila.
“Cik Aspalela. Jangan nak berangan boleh tak?” Omi mula bersuara.
Dhia juga mula terbayangkan wajah lelaki itu. Masih terbayang-bayang lelaki itu melambai sambil tersenyum manis ke arahnya. Kemarahannya pada lelaki itu juga serta-merta lenyap kala melihat wajah lelaki itu di kafeteria tadi. Ada sesuatu di sebalik wajah dan senyuman manisnya. Ah, hati. Jangan cuba bermain-main dengan rasamu yang satu itu.
“Awak..awak teringat kat saya eh?” Laila menongkat dagu di atas bahu Dhia, merengek manja. Cuba menyakat Dhia yang semakin jauh dari alam nyata. Fikirannya jauh melayang.
“Hish.. kau ni. Geli aku tau!” Segera ditepis bahunya, menjatuhkan dagu Laila.
“Alah..saya tau awak terbayangkan saya. Marah lagi ke pasal accident kat pintu tadi?” Terburai gelak tawa mereka. Dhia mencuka tapi di dalam hatinya agak berdebar dengan kata-kata Laila. Semuanya tepat belaka. Kau boleh baca fikiran akukah Laila? Adakah manusia di alam ini yang dikurniakan keajaiban itu macam dalam cerita Heroes?
Seorang demi seorang pelajar mula memenuhi dewan kuliah. Subjek Komunikasi Kemanusiaan merupakan antara subjek asas yang diambil pada semester pertama tetapi disebabkan kelas yang sentiasa penuh maka mereka tercampak ke semester empat. Beruntungnya mereka kerana mendapat kelas yang diajar oleh En. Mursyid, antara pensyarah yang paling digemari kerana keletah dan lawak jenakanya. Jika diadakan anugerah ‘Pensyarah Paling Sempoi’, pasti En. Mursyidlah pemenangnya.
“Assalamualaikum...”
Semua mata memandang ke arah suara yang memberi salam.
“Waalaikumussalam...” Dhia menyambut salam itu.
“Boleh saya duduk sini?”
Dhia memandang sekeliling. Memang dewan kelihatan sudah penuh. Kebetulan selang sebuah kerusi di sebelahnya kosong. Dhia menganggukkan kepala tanda permintaan diperkenankan.
“Terima kasih..” Lelaki itu melabuhkan duduknya. Dhia hanya tersenyum, menggantikan ucapan sama-sama. Dia mula merasakan sesuatu. Ah, hati. Duduk diam-diam. Jangan cuba nak buat drama pula.
Bersambung...

